Isnin, 27 September 2010

Perginya seorang yang bergelar " AYAH"

Tanggal 17 Syawal 1431, merupakan hari yang paling menyedihkan buat kami warga Kompleks Guru Jasin ini. Perginya ke Rahmatullah....... Cikgu Sulaiman yang merupakan seorang ayah bagi semua anak-anak dan seorang abang bagi kami semua disini.

Petang sebelum pemergiannya aku pergi menziarahinya. Keadaannya semakin kritikal. Mengalir airmataku melihat keadaannya. Wajahnya tenang seolah-olah tahu waktunya telah hampir. Aku bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan dan ketabahan padanya dan keluarga mengharungi penyakit kencing manisnya yang pada pandangan peribadiku di tahap paling kritikal.

Sewaktu menguruskan jenazahmu, ku lihat ramai yang ingin memberikan khidmat terakhir buatmu.... ramai yang membantu mengangkat jenazahmu untuk dimandikan. Solat jenazah juga dilakukan sebanyak dua kali, sekali di rumah dan sekali lagi di masjid. Ini kerana ramai yang ingin menyembahyangkan untuk mu buat kali terakhir. Ku lihat sewaktu mengusung jenazah ke van jenazah juga ramai yang memberikan khidmat mereka. Semua ingin menganggkat jenazahmu. Dapat ku simpulkan kau insan yang baik semasa hayat mu masih ada. Syukur.... yang terbaik hanya untukmu sewaktu pengurusan jenazahmu.

Buat mu Kak Mi, aku kagum dengan mu. Sepangang kau menjaga beliau, tidak pernah ku dengar rungutan atau keluhan dari bibir mu. Kau sentiasa tersenyum walaupun pelbagai dugaan yang melanda. Setiap hari menemani suami ke klinik untuk mencuci luka tanpa banyak bicara. Ku doakan semuga tuhan menempah untuk mu syurga......kerana kita akan ke SANA jua. Ku kagum dengan mu Kak Mi, Kau lebih tabah menghadapi kematian abang Leman berbanding diri ku sendiri. Mengalir airmata ku melihat anak ku Iman menangis menatap wajah terakhir abang Leman yang di panggil AYAH... Yang lebih memilukan.... kau yang memujuknya dengan kata-kata, "Walaupun ayah tak ada, ibu ada, Man. Along ada, kakak Zatul ada, Abang Ameer pun ada. Iman jangan nangis nanti ibu pun nangis." Pujukan mu terhadap Iman memilukan hati ku. Kau amat tabah Kak..... Ku tahu kau tahan segala kesedihanmu di depan khalayak ramai. Tak dapat ku bayangkan bagaimana keadaanmu apabila kau sendirian nanti...... Tabah kak... aku ada untuk akak meluahkan rasa hati. Akak tidak sendiri. Carilah diri ku ini. Akan ku dengar segala luahan kerinduan akak terhadap abang nanti..... Tabah ye kak............

Buat Ameer yang akan menghadapi PMR beberapa hari lagi... tabah la menghadapinya. Jadikan ia tangkal kekuatan untuk lebih berjaya. Along, Zatul dan Ameer tempat ibu bergantung sekarang ini. Bukan bergantung dari segi harta duniawi tapi dari segi kasih sayang dan semangat yang telah pergi semasa pemergian ayah. Bantulah ibu menggenggam kekuatan dalam mengharungi hidup tanpa ayah. Buktikan Ameer boleh mendapat kecemerlangan dalam PMR ini walaupun ayah telah pergi. Kejayaan Ameer pengubat segala kerinduan ibu terhadap ayah nanti...

Apapun Al Fatihah buat mu Cikgu Sulaiman b Sail.... Semoga roh mu tenang dan berbahagia di SANA. Doa ku semoga kau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.... Insyaallah.

Coretan dari insan yang lemah
Aku tetap aku....... walau apapun berlaku....
kerana aku hanya hambaMU yang sentiasa memerlukanMU....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan