Selasa, 28 September 2010

Buatmu Geng-Gengku......

Hari dugaan besar buat sahabat2ku M & W. Hanya kita yang tahu apa yang berlaku. Sabar la..... Ada hikmah disebaliknya. Manusia tidak sempurna ..... begitu juga dia. Walaupun dia yang kita respect selama ini, yang kita puji, yang pada kita mempunyai wawasan tersendiri mempunyai kelemahan dalam diri. Maafkanlah dia atas kelatahannya angkara tusukan dari insan yang tidak mahu akui kesilapan sendiri. Sebelum ini pelbagai dugaan yang kita hadapi .....malah lebih teruk dari ini. Tapi kita MENANG menghadapi.....

Ku tahu kalian amat terluka, kerana kalian amat menyanjunginya. Ku faham perasaan kalian... di fitnah tetapi tidak mendapat keadilan yang sewajarnya. Kalian dihukum tanpa perbicaraan yang telus. Ingat kawan...... selagi ada "batu api" yang membara bersama kita selagi itu kita kepanasan dalam kedinginan. Kita sentiasa menjadi bahan untuk mereka menjatuhkan kita.

Ingat .... hati2 sentiasa. Bukan kuasa kita mencantas "batu api" tetapi kita perlu berhati2.
Bukan semua orang suka kita gembira.... Ingat sewaktu kita dizaman pentadbiran yang lepas, apabila kita tidak dipandang oleh ketua kita, semua suka dan sentiasa bersama kita. Apabila kita lalai lalu ditegur semua menyatakan.... "sabar la...... tak pe..... biarkan.... pedulikan... dan macam2 lagi", tetapi apabila kita diterima oleh ketua yang baru... apa yang kita dapat????? sindiran??? jelingan??? semua itu kerana sifat cemburu yang bersarang. Kita sudah berjanji tidak akan melatah lagi. Walau apa yang berlaku, boss tetap no satu. Ingat...... pengajaran lepas banyak mengajar kita. Akibat ingin menjadi hero kita yang tersungkur... yang lain nyenyak tidur berdengkur. Akhirnya kita terpaksa akur.... kita bukan antara yang termashur...... seperti mereka yang lain...HIPOKRIT...

Kita bekerja kerana Allah, kita kawal segala pertuturan dan perlakuan agar pisang tidak berbuah kali kedua. Sebenarnya ada duri dalam daging dikalangan staff kita. Oleh kerana boss percaya kepada kita maka semua cerita buruk yang di ketahui oleh boss kita, mereka sangka angkara kita. sedangkan kita tidak pernah menyampaikan kepadanya.. malah adakalanya kita sendiri terkejut bagaimana boss mengetahuinya...... betullllll takkkk???? Ada juga yang kita tak tahu tetapi boss kita tahu.... itu lebih memeranjatkan...... Kini............ kita perlu berwaspada, agar kita tidak terkena. Sentiasa bersedia agar tak mudah kita terpedaya.....

Ingat... kita jangan mudah melatah. Kita yang akan mendapat padah. Buat seperti biasa walau hati luka berdarah. Ingat...... dalam diam kita pasrah pada Allah kita berserah kerana kita insan bermaruah. Hanya ini dapat ku luah kerana kasih sayangku melimpah luah buat kalian berdua yang ku anggap bagai saudara.

Ini hanya pandangan dariku yang amat daif,
Kerana ku tahu aku bukan seorang yang sempurna,
pandanganku semata2,
Ku sedar laras diriku....
kerana aku adalah aku......... akulah.......aku...

Isnin, 27 September 2010

Perginya seorang yang bergelar " AYAH"

Tanggal 17 Syawal 1431, merupakan hari yang paling menyedihkan buat kami warga Kompleks Guru Jasin ini. Perginya ke Rahmatullah....... Cikgu Sulaiman yang merupakan seorang ayah bagi semua anak-anak dan seorang abang bagi kami semua disini.

Petang sebelum pemergiannya aku pergi menziarahinya. Keadaannya semakin kritikal. Mengalir airmataku melihat keadaannya. Wajahnya tenang seolah-olah tahu waktunya telah hampir. Aku bersyukur kerana Allah memberikan kekuatan dan ketabahan padanya dan keluarga mengharungi penyakit kencing manisnya yang pada pandangan peribadiku di tahap paling kritikal.

Sewaktu menguruskan jenazahmu, ku lihat ramai yang ingin memberikan khidmat terakhir buatmu.... ramai yang membantu mengangkat jenazahmu untuk dimandikan. Solat jenazah juga dilakukan sebanyak dua kali, sekali di rumah dan sekali lagi di masjid. Ini kerana ramai yang ingin menyembahyangkan untuk mu buat kali terakhir. Ku lihat sewaktu mengusung jenazah ke van jenazah juga ramai yang memberikan khidmat mereka. Semua ingin menganggkat jenazahmu. Dapat ku simpulkan kau insan yang baik semasa hayat mu masih ada. Syukur.... yang terbaik hanya untukmu sewaktu pengurusan jenazahmu.

Buat mu Kak Mi, aku kagum dengan mu. Sepangang kau menjaga beliau, tidak pernah ku dengar rungutan atau keluhan dari bibir mu. Kau sentiasa tersenyum walaupun pelbagai dugaan yang melanda. Setiap hari menemani suami ke klinik untuk mencuci luka tanpa banyak bicara. Ku doakan semuga tuhan menempah untuk mu syurga......kerana kita akan ke SANA jua. Ku kagum dengan mu Kak Mi, Kau lebih tabah menghadapi kematian abang Leman berbanding diri ku sendiri. Mengalir airmata ku melihat anak ku Iman menangis menatap wajah terakhir abang Leman yang di panggil AYAH... Yang lebih memilukan.... kau yang memujuknya dengan kata-kata, "Walaupun ayah tak ada, ibu ada, Man. Along ada, kakak Zatul ada, Abang Ameer pun ada. Iman jangan nangis nanti ibu pun nangis." Pujukan mu terhadap Iman memilukan hati ku. Kau amat tabah Kak..... Ku tahu kau tahan segala kesedihanmu di depan khalayak ramai. Tak dapat ku bayangkan bagaimana keadaanmu apabila kau sendirian nanti...... Tabah kak... aku ada untuk akak meluahkan rasa hati. Akak tidak sendiri. Carilah diri ku ini. Akan ku dengar segala luahan kerinduan akak terhadap abang nanti..... Tabah ye kak............

Buat Ameer yang akan menghadapi PMR beberapa hari lagi... tabah la menghadapinya. Jadikan ia tangkal kekuatan untuk lebih berjaya. Along, Zatul dan Ameer tempat ibu bergantung sekarang ini. Bukan bergantung dari segi harta duniawi tapi dari segi kasih sayang dan semangat yang telah pergi semasa pemergian ayah. Bantulah ibu menggenggam kekuatan dalam mengharungi hidup tanpa ayah. Buktikan Ameer boleh mendapat kecemerlangan dalam PMR ini walaupun ayah telah pergi. Kejayaan Ameer pengubat segala kerinduan ibu terhadap ayah nanti...

Apapun Al Fatihah buat mu Cikgu Sulaiman b Sail.... Semoga roh mu tenang dan berbahagia di SANA. Doa ku semoga kau ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.... Insyaallah.

Coretan dari insan yang lemah
Aku tetap aku....... walau apapun berlaku....
kerana aku hanya hambaMU yang sentiasa memerlukanMU....

Rabu, 15 September 2010

Ohhhh My Boss

Assalamualaikum...
Belum puas beraya dah naik kerja. Tapi tak pe, dah janji dulu-dulu akan akur dengan majikan so... jangan banyak soal. Kerja tetap kerja walaupun mood raya masih ada dan mood kerja belum 100% bersedia. Huhuhu... Apapun seorang pendidik utamakan anak didiknya..... Selamat Hari Raya anak-anak ku.

Bercerita tentang kerja...... ada kerja ada la boss.... atau kita sendiri boss. Tapi aku kerja dengan boss. Boss aku baik orangnya tetapi tegas. Pantang boss aku " bohong" Jangan berbohong dengannya. Berkata benarlah walaupun pahit. Aku namakan boss aku ni GB Kay. Dia seorang yang baik, peramah tetapi tegas dalam segala tindakan. Kalau kita akur dengan segala arahan tanpa banyak bantahan itulah yang paling disukainya. Setiap tugasan yang diberi akan kulaksanakan sedaya upaya ku. Jadi tak salah aku menjadi salah seorang orang kuatnya di tempat kerja (perasankah aku????) Tapi itu lah yang ku perasan. Rakan baik ku Kak Lin dan Wan pun merupakan orang kanan boss aku. Kami bertiga ni satu kepala.... Macam naga kepala tiga. Suka sama suka, duka sama duka. Jadi kami ni selalu menjadi tempat boss tanya pendapat.

GB Kay ni nak bersara hujung tahun ni. Nak jadikan cerita...... boss aku bagitau second boss... dia nak aku jadi floor manager waktu persaraannya nanti... Hhhuuuuhhhhh. Macam nak pecah kepala ku. Bukan apa... selama ni aku hanya sebagai AJK biasa je, ni... nak mengetuai majlis tersebut...hhhuuuuhhhh.Apapun geng aku dah beri sokongan dan berjanji akan membantuku sedaya mungkin.. Thanks geng.

Yang mengconfiuskan aku kenapa aku yang dia pilih.... Banyak lagi kat tempat kerja aku ni orang-orang yang berpengalaman. Yang muda, yang tua.... oppppss yang lama, yang gagah..... semua ada. Walau apa pun aku akan cuba sedaya upayaku menjadikan majlis persaraan boss yang hebat dan terhebat... Apa pun aku berharap pada dua geng aku ni. Aku tak boleh pening sorang-sorang, kalau aku pening semua mesti pening..... ok geng????? Doakan aku mendapat kekuatan menjalankan majlis ini..

Buat boss, terima kasih kerana mempercayai aku yang tak seberapa tau ni.. akan ku jadikan ia satu pengalaman dan pengajaran yang terbaik.
Buat geng-geng aku ni, tq dan sokong lah diriku ni dari segala sudut...

Ohhh my boss....

aku tetap aku....walau siapa pun aku.... aku adalah aku
hanya seorang khalifah di bumi Allah...
Wassalam

Selasa, 7 September 2010

Salam Aidilfiti

Assalammualaikum.... Hmmmm raya datang lagi. Anak2 paling gembira walaupun puasa tak cukup, macam anak ku Hazim (5 tahun). Bukan sekadar tak cukup tapi tak puasa pun. Huhuhu puas ku pujuk tapi....... tak de makna nyer..

Buat sahabat ku, Kak Lin dan family, salam lebaran dengan tangan dihulurkan agar segala kesalahan di maafkan. Moga tali persahabatan kian kukuh walau badai merempuh kita tetap utuh dalam erti persabatan yang sejati. Salam Aidilfitri.....

Buat Wan dan family,
Salam di Aidilfitri. Kemaafan dipohon agar segala dosa diampun. Walau aku kaunter pertanyaan mu, aku akur kerana ku tahu, aku lebih tahu..... huhuhu.

Salam aidilfitri buat semua rakan yang mengenali dan pengikut blog ku ini. Salam perkenalan dihulur walau tidak pernah bertemu namun kau kuhargai.....

dari aku...tetap aku... kerana akulah...aku
Salam Aidilfitri...

Hari Raya

Lagi 2 hari aidilfitri bakal menjelma. Adakah aku telah bersedia???? Rasanya 60% persediaanku... Yang lain????Huhhhh tak terbuat aku dalam masa terdekat. Tapi aku bersyukur suami dan anak2 amat memahami.Pasti mereka akan menyudahkan 40% lagi.

Yang lebih utama yang akan ku nyatakan disini bukanlah persiapan tapi...... perasaan seorang ibu tua yang mengharapkan kehadiran anak dan cucunya. Apakah daya seorang ibu tua yang telah kehilangan daya kuasa tangan kanannya akibat strok 2007 yang lalu. Anak-anak akan kembali.... tapi petang sehari sebelum hari raya.Bagaimanakah persiapan ibu tua itu tanpa pembantu. Perancanganya menyambut raya seolah-olah dia sempurna seperti dahulu kala. Ingin memasak rendang daging 5 kilo dan 6 ekor ayam.. Huhhhh... aku yang sihat ini pun tidak berdaya. Sebagai seorang anak aku mampu menyediakan segala apa yang perlu seperti daging & ayam (telah pun ku pesan pada peniaga di pasar tadi) rempah, bawang & bahan-bahan yang lain. Beras dan ketupat segera pun telah di beli tadi. Bagaimana aku dapat membantu sedangkan keluarga ku sendiri pun memerlukan aku untuk memasak makanan perayaan ini. Di manakah adik beradik ku yang lain????? 6 anak yang dikandung 1 di besarkan tetapi ibu seorang ini tidak dapat dijaga perasaannya... Pulang lah kakak-kakak ku. Bantulah ibu... Segala persiapan telah disediakan.

Ingatlah kakak2 ku.... bukan wang yang ibu dahagakan tapi kasih sayang dan perhatian kalian. Aku tahu beratus kau utus buat ibu tua ini. Aku tahu...... kerana akulah menguruskan segala perbelanjaannya. Simpananya mengalahkan aku yang bekerja. Selain pencen arwah ayah duit kalianlah yang terdapat di dalam akaun itu. Aku tahu...

Jagalah hati dan perasaan orang tua ini. Hayatnya belum tentu lagi. Aku tidak terdaya menanggung seorang diri kerana aku pun ada keluarga sendiri. Ketika kalian jauh, semua tanggungjawab menjaganya aku usahakan sedaya upaya. Tak bolehkah hari raya ini kalian luangkan masa bersamanya menyediakan juadah warisan aidilfitri ini????? tak bolehkah?????
Sewaktu ke bank tadi, aku dapat mendengar keluah hatinya yang terlontar dari bibirnya. " Mengapakah Allah menduga anak2ku begini?" Ini adalah kerana ibu telah bertemu dengan orang kampung yang telah merantau bertahun tetapi pulang menyambut aidilfitri bersama keluarga di kampung. Lebih meriah lagi membeli belah bahan dapur bersama ibu tercinta untuk menyambut hari lebaran.

Wahai kakak2 ku, pulanglah... Jangan sampai mata ibu terpejam lantaran kepunan dengan kenangan dizaman silam......pulanglah..... bersama meraikan aidilfitri dan bersama memeriahkan persiapan ibu yang tidak terdaya itu menjelang aidilfitri. Aku mohon kepada Illahi bukalah pintu hati dan minda kakak2 ku agar terfikir tentang perkara ini. Aminnnn......

Aku sekadar seorang adik yang tiada kuasa untuk menasihati kalian. Hanya dengan cara ini sahaja yang dapat ku luahkan.....

Antara cerita2 ibu tercinta dan tradisi yang ku perhati:
Anak sulung yang ku panggil Along, setiap tahun beraya di rumah mentua... dengan alasan ingin beraya lama di kampung ku nanti. Anak ke 2 dan ke 4 akan pulang petang sebelum raya... biasanya pukul 5.00 petang baru lah sampai. Itu pun paling awal. Anak ke 3, serumah tetapi sentiasa tidak sependapat dengan ibu dan selalu bermulut lancang memarahi adik beradik yang lain menyebabkan tercetusnya perbalahan. Anak ke 5, anak lelaki tunggal, banyak masalah tersendiri.... Aku, anak ke 6 yang diamanahkan menjaga ibu lantaran tinggal sedaerah dengan ibu. Anak yang ibu pelihara sejak lahir, umpama tidak wujud lagi kerana walaupun tinggal dalam daerah bersebelahan namun tidak lagi mempedulikan ibu lantaran semua anak telah dewasa. Semasa anak2 masih kecil ibu tua ini yang menjaganya...... malah dalam pantang pun ibulah yang menjaganya dari keluar hospital sehingga tamat pantang.

Sekadar kenangan...... sewaktu kepulangan hampir semua anak2 ibu semasa cuti persekolahan pelbagai kereta terpakir dilaman ibu. CRV, Citra, Avanza, gagah terbiar dilaman. Jam 7.30 pagi ibu menelefon memberitahu perutnya sakit. Dengan segera aku datang untuk membawanya ke klinik. Apakah makna semua ini........

Ya Allah... Ampunilah dosaku ini sekiranya aku berdosa menceritakan kepincangan keluarga ku ini. Aku yakin dengan cara ini segala yang terbuku telah terlerai..... Ampunkan aku Ya Allah. Buat mu ibu, sabarlah dengan kerenah anak2 mu. Buat kakak2 ku, kembalikanlah kebahagian ibu sebagaimana kalian memerlukan ketika kalian dalam kesusahan dahulu. Kesenangan hari ini merupakan kesusahan ibu diwaktu lalu.... kenang-kenangkan.....

Coretan adik yang tidak berdaya..............

Selasa, 18 Mei 2010

Erti Sahabat

Persahabatan yang terjalin dengan jujur, ikhlas dan disirami dengan kasih sayang akan berkekalan selamanya. Insyaallah........ Dalam persahabatan memerlukan rantaian tali yang kuat untuk berpaut antara satu dengan yang lain. Jika satu tergelincir yang satu lagi akan menariknya ke landasan semula. Bak kata pepatah dalam persahabatan ini " yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul". Susah dan senang dalam persahabatan pengukur keikhlasan dan kasih sayang.....

Ikuti cereka mengenai sahabat "Erti Sahabat"

Asrama kayu yang aku duduki dulu ku pandang lesu. Di situlah aku membesar selama 5 tahun bersama rakan-rakan yang lain. Rakan ku silih berganti. Masihku ingat sahabat yang aku sayangi Anizah.

Ani... namamu terpahat diingatan ku. 1987 aku ditempatkan di tingkatan 1 Omar. Semua rakan yang aku kenali berada di tingkatan 1 Abu Bakar. Aku bersendirian dalam menyesuaikan diri tanpa rakan sekampungku Hanim. Dalam aku termangu seketika memerhatikan rakan-rakan yang lain, Anizah menegurku sambil menarik bangku yang kosong disebelahku. "Boleh saya duduk di sini? Soalnya. Aku mengangguk. Sejak itu aku mula berkawan dengannya. Ke mana pergi pasti bersama. Rakan-rakan menggelar kami belangkas. Ada yang menyatakan kami seperti kembar kerana wajah kami hampir serupa. Persahabatan kami berjalan dengan baik sehingga pada 1991 Ani tidak balik ke asrama pada waktu yang sepatutnya. Dari rakan-rakan, aku dimaklumkan Ani dimasukkan ke hospital kerana penyakit leukemia. Dummmm!!!!! runtuh jantungku pada waktu itu.

Setelah beberapa minggu Ani kembali ke sekolah tanpa tinggal di asrama. Aku bersyukur walaupun tidak dapat bersama pada luar waktu persekolahan yang pasti , Ani sihat kembali. Kami bersama-sama menjalani persekolahan sehinggalah satu hari aku dimaklumkan kesihatan Ani semakin teruk. Dia tidak hadir ke sekolah berhari-hari lamanya. Ani terlantar dirumahnya. Badannya sangat lemah. Dia perlukan bantuan untuk berjalan atau melakukan apa-apa pergerakan. Luruh airmataku. hanya doa yang dapat ku panjatkan agar Ani sihat kembali walaupun aku tahu tidak mungkin ia berlaku. Segala-galanya telah Ani ceritakan padaku.

Hari peperikasaan SPM telah tiba. Ani hadir dengan dibantu oleh abangnya, Bakar untuk membawanya ke dewan peperiksaan. Aku sentiasa menemaninya apabila telah tamat peperikasaan pada hari-hari tersebut. Makan bersama, minum bersama, ketawa bersama... bukan aku berdua sahaja tetapi bertiga... bersama rakanku yang bernama Siti Yuniza. Kami sentiasa menggembirakan hati Ani. Setelah tamat peperiksaan aku pulang ke kampung. Aku mengikut kakakku ke Johor Baharu kerana membantu menjaga anaknya, sementara mendapat pembantu.

Satu hari, aku mendapat berita Ani telah kembali ke rahmatullah. Apakah dayaku, aku tidak dapt menziarahinya kerana aku berada di JB pada waktu itu. Hanya airmata yang mengalir mengenangkannya. Walau apa pun, Ani tetap dalam ingatan ku. Disaat aku menulis catatan ini kenangan bersamanya sentiasa diruang mata ini. Makin rindu padanya... Ingin aku nyatakan padanya aku amat rindu padanya... adakah di tahu apa yang aku rasakan ini??? Segala kenangan bersamanya; makan durian di dusun duriannya... kami berlari-lari mengutip durian yang gugur sambil menjerit "aku punya...aku punya" ....Abangnya (Bakar dan Umar) dan adiknya (Faezah) bersama-sama kami menikmati durian sambil ketawa dan bergembira. Ani yang pandai memasak dan membuat kek menghidangkan makanan tengahari yang amat sedap pada hari itu. Lewat petang barulah kami bersama pulang ke asrama kerana waktu outing berakhir jam 6.00 petang. Ani..... Nora rindukan saat-saat kita bersama dulu. Kaulah sahabat ku selain dua sahabat (Kak Lin dan Wan) yang aku sulami dengan kasih dan sayang yang aku temui di alam pekerjaan. Moga kita bertemu di hujung dunia satu hari nanti. Salam rindu buatmu Ani.... Al Fatihah...

Jumaat, 14 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Hmmmm.... 16 Mei datang lagi. Hari keramat buat guru2 Malaysia. Pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi guru-guru. Semua ditempuhi dengan tabah dan sabar kerana kita adalah seorang GURU.. Itulah guru.. sabar dan tabah menghadapi semua cacian, tomahan dan hinaan. Ada juga insan yang masih menghargai guru. Terima kasih buat kalian ....

Hadirnya insan yang berjaya, berpangkat, berbudi bahasa..... semuanya dari guru. Walau garang melangit pun guru tidaklah sampai mengorbankan anak didiknya. Kecuali insan yang bergelar guru tetapi minda dan hati tidak tertanam semangat kasih sayang dalam keguruan... Ia adalah hanya sekadar guru pada nama sahaja. Jangan kerana nilai negetif seorang guru, terpalit kotor semuanya.

Guru yang sebanarnya adalah guru seperti kebanyakkan dari kita (guru) yang mana marah kita kerana sayang, teguran kita untuk masa depan dan semua yang kita buat adalah untuk melahirkan generasi terbilang.

Untukmu murid-murid tersayang,
Kami guru-guru sentiasa berdoa untuk kebahagian, kejayaan dan kegembiraan kamu.. Ingatlah, kami guru-guru sentiasa sayang kepada kamu.

Buatmu teman seperjuangan,
Harungilah cabaran dan dugaan dengan tenang dan tabah. Keiklasan dan pengorbaban kita tanpa habuan melimpah tetapi janji Allah buat guru menuggu di "SANA" Insyaallah..... Kita lakukan yang terbaik buat anak didik, tanpa mengira yang pandai cerdik agar mereka terus ditabik. Berjayanya meraka bererti berjayalah kita. Guru tetap guru walau kemana kita menuju. Diliang lahat pun kita tetap guru... Hanya itu kehebatan kita. CIKGU .... walau dimana.

Selamat Hari Guru buat semua guru Malaysia..........

Rabu, 12 Mei 2010

Hari ini.... 13 Mei 2010

Yesss!!!! aku berjaya buat blog sendiri. Tq Kak Lin & Adik yang menunjukkan jalan.

Hari ini sayu hati apabila terbaca kisah adik Hana yang dilahirkan dengan pelbagai dugaan untuk dirinya dan ibunya. Mengalir airmataku membaca kisahnya. Doaku untukmu Hana... Semoga kau pulih sepenuhnya seperti anak-anak yang lain. Tidak dapat ku bayangkan sekiranya aku ditimpa dugaan sehebat itu. Aku tahu Allah hanya menguji orang yang sabar dan tabah seperti ibunya. Buat ibu Hana, sabar dan tabahlah menjaga dan mendidik Hana. Saya yakin suatu hari nanti Hana lah yang menjadi penawar segala duka nestapa.